Serangan Ukraine ke atas kapal komersial Iran ‘tidak boleh tidak dijawab’ – Iran

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, berkata pada Ahad bahawa serangan Ukraine ke atas kapal komersial Iran, yang membunuh seorang kelasi, “tidak boleh tidak dijawab”, lapor berita Anadolu.

“(Presiden Ukraine Volodymyr) Zelenskyy telah menyerang sebuah kapal komersial Iran, membunuh seorang kelasi,” kata Araghchi di X, lapor Anadolu.

Dia menyifatkan serangan itu sebagai “pelanggaran Piagam PBB yang terang-terangan” mendakwa bahawa ia telah dijalankan “atas arahan Israel untuk mengheret Eropah ke dalam perangnya”, lapor Anadolu.

Araghchi dilapor berkata, dia menyampaikan pendirian Iran semasa panggilan telefon berasingan dengan ketua dasar luar EU, Kaja Kallas, dan Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov.

Menurut Anadolu, Iran pada Sabtu memanggil kuasa usaha Ukraine di Tehran atas apa yang didakwanya sebagai serangan tentera Ukraine ke atas sebuah kapal komersial Iran di Laut Kaspia yang membunuh seorang kelasi dan mencederakan seorang lagi.

Pada Sabtu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy dilapor berkata di X bahawa Ukraine telah mencapai “keputusan yang sangat kukuh” dengan serangan jarak jauh di Laut Kaspia, termasuk terhadap “kapal yang digunakan dalam penghantaran kargo tentera membabitkan Iran, serta kapal perang”.